Tragedi MH370; Kuatkan Doa, Zikir, Munajat & Qunut Nazilah, Hindari Syirik & Khurafaf
1. Tragedi MH370 telah masuk hari ke 6 pada hari ini. Meskipun
pelbagai usaha menerusi pelbagai peralatan canggih dan teknologi moden
digunakan namun status keselamatan penumpangnya masih lagi misteri dan
belum nampak sebarang petanda yang kukuh bagi merungkai dan
menyelesaikan misteri kehilangan pesawat dan penumpangnya.
2. Seluruh rakyat dan pelbagai pihak begitu prihatin menghulurkan
bantuan mengikut kadar kemampuan masing-masing. Di pihak kerajaan,
sebagai sebuah negara yang meletakkan Islam menjadi agama Persekutuan,
segala usaha yang bercanggah dengan syarak mesti dijauhi. Penggunaan
bomoh yang menggunakan bantuan jin dan makhluk halus serta merujuk
kepada tukang tilik dan tukang tenung mesti dielakkan sebagai satu
teladan yang baik kepada rakyat. Rakyat perlu diperingatkan dengan hadis
Sahih riwayat al-Zahabi
من أتى عرَّافًا أو كاهنًا فَصدَّقَهُ بما يقولُ فقد كفرَ بما أنزلَ على محمَّدٍ
"Sesiapa yang mendatangi tukang tilik masa lepas ('arraf) dan tukang
tenung masa depan (kaahin) lalu mempercayai apa yang dikatakannya maka
dia telah kufur dengan apa yang diturunkan kepada Nabi Muhammad saw."
3. Dalam menghadapi situasi yang bersifat bencana negara ini seluruh
rakyat perlu dididik dengan penyelesaian cara islam sebagaimana berikut:
A. Meyakini bahawa segala apa yang berlaku adalah musibah yang mengajak
setiap muslim kembali kepada Allah dengan menyebut "innaalillaahi
wainnaa ilaihi raaji'un" dan meyakini maksudnya iaitu "kita adalah milik
Allah dan kita pasti kembali kepada-Nya".
Allah berfirman:
وَبَشِّر الصَّابِرينَ الَّذينَ إذَا أصابَتْهُمْ مُصِيبَةٌ قالُوا إنَّا لِلَّهِ وَإِنّا إلَيْهِ رَاجِعُونَ .
"Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar yang apabila
ditimpa dengan musibah mereka menyatakan "kita milik Allah dan kita
pasti kembali kepada-Nya"." surah al-Baqarah: 155
Seterusnya berdoa sepertimana ditunjukkan oleh baginda Muhammad saw dalam hadis Sahih Muslim iaitu:
َ اللَّهمَّ أجِرني في مُصيبَتي واخلُفني خيرًا مِنها
"Ya Allah, berilah pahala padaku menerusi musibah ini dan gantikanlah untukku dengan yang lebih baik"
B. Berusaha dengan sedaya upaya menangani misteri kehilangan
berdasarkan kemampuan ilmu dan peralatan yang ada lalu berserah diri
(tawakkal) kepada Allah agar diberi taufik kejayaan merungkaikan
permasalahan.
C. Meyakini bahawa doa adalah senjata sebenar orang-orang beriman sebagaimana sabda Nabi saw dalam Hadis Sahih riwayat Sayuti
الدُّعَاءُ سِلَاحُ الْمُؤْمِنِ
"Doa adalah senjata mukmin"
Allah berfirman
{أَمَّنْ يُجِيبُ الْمُضْطَرَّ إِذَا دَعَاهُ وَيَكْشِفُ السُّوءَ
وَيَجْعَلُكُمْ خُلَفَاءَ الْأَرْضِ أَإِلَهٌ مَعَ اللَّهِ قَلِيلًا مَا
تَذَكَّرُونَ} [النمل : 62
Maksudnya: "Siapakah yang menyahut orang
yang kesempitan apabila dia berdoa dan menyingkap trajedi buruk dan dia
menjadikan kamu pengganti-pengganti di bumi. Adakah ada Ilaah (tuhan
yang disembah) beserta Allah? Sedikit sangat kamu mengambil peringatan"
surah al-Naml : 62
D. Membanyakkan zikir dan doa di kala
berhadapan musibah agar segala musibah dan tragedi dibuka dan dilepaskan
oleh Allah dan semua misteri terungkap dengan segera.
Antaranya
1. Zikir Nabi Yunus
لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ سُبْحَانَكَ إِنِّي كُنْتُ مِنَ الظَّالِمِينَ}
"Tiada Ilaah (tuhan yang disembah) melainkan Kamu. Maha suci Engkau.
Sesungguhnya saya tergolong kalangan orang-orang yang zalim"
surah al-Anbiya: 87
Zikir ini diamalkan oleh Nabi Yunus di saat beliau diuji dengan musibah
besar melibatkan nyawa iaitu ditelan oleh ikan besar di dalam lautan.
Dalam kegelapan perut ikan besar tersebut beliau terus berzikir dengan
zikir di atas lalu akhirnya beliau selamat dengan izin Allah.
عن سعد - رضي الله عنه - قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : ( ألا
أخبركم بشئ إذا نزل برجل منكم كرب ، أو بلاء ، من أمر الدنيا دعا به ففرج
عنه ؟ دعاء ذي النون : لا إله إلا أنت سبحانك إني كنت من الظالمين )
Nabi saw bersabda dalam Hadis Sahih : "mahukah kamu saya khabarkan suatu
doa apabila turun trajedi pada seseorang atau bala daripada urusan
dunia dia berdoa dengannya lalu Allah singkapkan? Iaitu doa Nabi Yunus
لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ سُبْحَانَك إِنِّي كُنْتُ مِنَ الظَّالِمِينَ
2. Zikir ketika Kesukaran yang disebut oleh Nabi saw sebagaimana Hadis Sahih Bukhari dan Tirmizi
لا إلهَ إلا اللهُ العظيمُ الحليمُ، لا إلهَ إلا اللهُ ربُّ العرشِ
العظيمِ، لا إلهَ إلا اللهُ ربُّ السماواتِ، وربُّ العرشِ الكريمِ
"Tiada Illah (tuhan yang disembah) melainkan Allah yang Maha Hebat lagi
Maha Bersopan. Tiada Ilaah (tuhan yang disembah) melainkan Allah Rabb
yang mencipta, memiliki dan menguruskan Arasy yang hebat. Tiada Ilaah
(tuhan yang disembah) melainkan Allah Rabb yang memiliki dan menguruskan
langit-langit dan Rabb yang mencipta, memiliki dan menguruskan Arasy
yang mulia."
لا إلَهَ إلَّا اللَّهُ الحليمُ الحَكيمُ ، لا إلَهَ
إلَّا اللَّهُ ربُّ العرشِ العظيمُ ، لا إلَهَ إلَّا اللَّهُ ربُّ
السَّمواتِ والأرضِ وربُّ العرشِ الكريم
3. Doa ketika kesukaran sebagaimana Hadis Hasan riwayat Abu Dawud
اللَّهُمَّ رَحْمَتَكَ أَرْجُو ، فَلَا تَكِلْنِي إِلَى نَفْسِي طَرْفَةَ
عَيْنٍ ، وَأَصْلِحْ لِي شَأْنِي كُلَّهُ ، لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْت
َ
Maksudnya: "Ya Allah. Hanya rahmatMu saya harapkan. Maka janganlah Kamu
serahkan diri saya kepada diri saya sendiri meskipun sekelip mata dan
perelokkanlah untuk diri saya urusan saya keseluruhannya. Tiada Ilaah
(tuhan yang disembah) melainkan Engkau.
4. Zikir yang
dianjurkan membacanya di awal pagi dan petang yang mengandungi maksud
memohon bantuan kepada Allah sepertimana hadis yang dinilai Sahih oleh
al-Albaani.
يَا حَيُّ يَا قَيُّومُ بِرَحْمَتِكَ أَسْتَغِيثُ أَصْلِحْ لِي شَأْنِي كُلَّهُ , وَلا تَكِلْنِي إِلَى نَفْسِي طَرْفَةَ عَيْنٍ " .
"Wahai Yang Maha Hidup lagi Maha Berdiri dengan sendiri. Dengan
rahmatMu saya memohon bantuan. Perelokkanlah untuk saya urusan saya
kesemuanya. Janganlah Engkau serahkan saya kepada diri saya semata-mata
meskipun sekelip mata"
E. Membanyakkan doa dalam solat khususnya di waktu sujud sebagaimana Hadis Sahih Muslim sabda baginda saw
أَقْرَبُ مَا يَكُونُ الْعَبْدُ مِنْ رَبِّهِ وَهُوَ سَاجِدٌ ، فَأَكْثِرُوا الدُّعَاءَ
Maksudnya: "Sesungguhnya hamba berada paling hampir dengan Tuhannya di saat sujud maka banyakkanlah berdoa"
F. Melakukan Qunut Nazilah dalam 5 waktu solat pada rakaat akhir
selepas rukuk dan i'tidal. Ia sunat dilakukan apabila berlaku sebarang
bencana kepada umat Islam. Nabi saw melakukan Qunut selama sebulan dalam
solat 5 waktu apabila para pendakwah yang dihantar oleh Nabi saw
dikhianati dan dibunuh oleh beberapa suku Arab.
G. Bole juga
berdoa dengan doa yang disandarkan kepada sahabat Nabi saw iaitu Ibnu
Umar r.a. selepas berwudu' dan solat 2 rakaat memohon dipulangkan barang
yang hilang sebagaimana Athar yang dinilai Hasan riwayat Baihaqi
اللَّهمَّ رادَّ الضَّالَّةِ هاديَ الضَّلالَةِ تَهدي منَ الضَّلالةِ ردَّ
عليَّ ضالَّتي بعزَّتِكَِ وسلطانِكَِ فإنَّها من فضلِكَِ وعطائِكِ
Maksudnya: Ya Allah Yang Maha memulangkan apa yang hilang, Yang
memberi petunjuk kehilangan, Engkau memberi petunjuk daripada
kehilangan. Pulangkanlah kepada saya apa yang telah hilang dengan
keagunganMu dan kekuasaanMu. Kerana ia sebahagian kurniaan dan
pemberianMu.
4. Mudah-mudahan berkat usaha semua pihak sama ada
pihak berkuasa, rakyat dan keluarga mangsa trajedi kehilangan MH370
segala misteri akan terungkai segera insyallah.
YB Ust Dato Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat
Khamis 13.3.2014; 6.10 pm
No comments:
Post a Comment