Saturday, 28 June 2014

Kaitan Antara Usaha Dan Rezeki

Catatan ini di petik dari BUKU MINI : MUDAHNYA MENJEMPUT REZEKI


Kita pernah mendengar seseorang mengatakan, "Benarlah rezeki itu daripada Tuhan, tetapi kita kena usaha."

Kita juga pernah mendengar kata-kata, "Benarlah kita kena usaha, tetapi rezeki itu daripada Tuhan."

Bagaimana kita memahami kedua-dua ayat ini? Apa bezanya? Yang mana satu betul?

Ternyata kedua-dua ayat diatas bukanlah untuk memilih betul atau salah. Tindakan dan kata-kata kita cenderung mewakili apa yang kita rasa dan percayai.

Ada orang yang memang mempercayai rezeki itu daripada Tuhan. Namun melihat caranya berusaha, Tuhan dijadikan nombor dua pula. maksudnya apabila bertembung dengan situasi yang memerlukan dia membuat satu pilihan, keputusannya adalah Tuhan diletakkan nombor dua. 

Contohnya apabila dia sedang asyik dengan sesuatu perkara, sedang waktu solat sudah pun tiba, maka, solat dikemudiankan, malah dikerjakan di hujung-hujung waktu. Inilah golongan yang selesa mengucapkan ayat yang pertama itu. Padanya usaha adalah nombor satu. Perintah Tuhan jatuh nombor dua. "Benarlah rezeki itu dari Tuhan, tetapi kita kena berusaha," katanya.

Dalam satu riwayat dinyatakan seorang Sahabat sedang bekerja. Beliau menyiapkan dinding yang terdiri daripada susunan batu-bata. Pada masa azan dilaungkan, kerjanya sudah hampir selesai. Iaitu hanya tinggal meletakan sebutir bata sahaja lagi. Apabila ketulan terakhir itu diletakkan di tempatnya maka sempurnalah kerjanya. Namun, tatkala mendengar azan dilaungkan, serta merta Sahabat tersebut menghentikan kerjanya dan menuju tempat solat.

Apabila beliau di tanya mengapa tidak meneruskan sahaja kerjanya tadi, walhal hanya tinggal meletakkan seketul batu bata sahaja lagi untuk menyelesaikan kerjanya itu. Beliau menjawab, bahawa jika beliau meneruskan kerjanya, sebenarnya beliau membesarkan batu-bata dan bukan membesarkan Allah! Padanya apabila azan dilaungkan, semuanya adalah kecil kecuali Allah. Nah, beginilah dasyatnya iman para sahabat. Maka tidak hairanlah rezeki mereka melimpah ruah. Mereka dipandang mulia walau tanpa harta dan kuasa. Mereka mendapat redha Allah dan menjanjikan kejayaan (mendapat syurga) semasa masih di dunia lagi.

Para Sahabat ternyata amat memahami hakikat rezeki. Walhal apalah sangat dengan masa yang diperlukan untuk meletakkan seketul bata bagi menyempurnakan  kerjanya. Itulah hebatnya iman para sahabat berkaitan soal rezeki. Mereka percaya bahawa sebenarnya rezeki itu sangat kuat hubungannya dengan Allah, dan ia bukan berkaitan dengan usahanya sahaja.

Allah menyatakan dengan jelas melalui firmam-Nya di dalam Al-Quran bermaksud :
Kepunyaan-Nyalah semua yang ada di langit, di bumi, di antara keduanya dan yang di bawah tanah. (Thaha 20: 6)


Allah juga sudah menyatakan tentang jaminan-Nya iaitu :
Sesungguhnya Allah memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dengan tidak terhitung jumlahnya, (Ali'Imran 3:37)

Bukan setakat itu, Allah memberi lagi strategi bertindak sebagaiman yang diriwayatkan dalam sebuah hadis Qudsi.
Berkata 'Ugbah Bin Amir al-Juhaini r.a., bahawasanya Nabi Muhammad S.A.W telah bersabda maksudnya "Wahai anak Adam! Tunaikan empat rakaat (sunat) pada siang hari, nescaya Aku mencukupimu pada sepanjanh hari." (Riwayat Ahmad dan Abu Ya'la)

Solat sunat yang dimaksudkan adalah solat sunat Dhuha

Hadis ini jelas menunjukkan strategi bagaimana menjemput rezeki. Kita tidak perlu bimbang lagi dengan banyak atau sedikitnya rezeki yang diperoleh pada hari tersebut akan Allah cukupkan! Ini iman para sahabat. Rasa aman, bahagia dan serba cukup berkenaan rezeki hanya datang daripada Allah. Kebimbangan mereka bukanlah rezeki, tetapi iman di hati.

Hal ini dinyatakan dengan jelas oleh Allah melalui firman-Nya:
Sesiapa yang bertakwa kepada Allah, nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar. dan memberi rezeki kepadanya tanpa disangka-sangka. Dan sesiapa yang bertawakal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkannya. SesungguhnyAllah melaksanakan urusan yang dikehendaki-Nya. sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu.
(Ath-Thalaq 65:2-3)

Sehubungan dengan itu jelaslah bahawa sumber rezeki itu datangnya daripada Allah. Apabila Allah mahu memberi rezeki kepada seseorang, akan diberinya sekali dengan sebab musababnya. Jadi, memang tiada istilah kebetulan atau mujur.

Oleh itu, usaha paling berkesan agar mudah menjemput rezeki tentulah dengan mendekatkan diri kepada Allah. Berusaha sehingga Allah kasih dan redha kepada kita. Dapatkah dibayangkan bagaimana agaknya kehidupan seseorang yang menjadi kekasih Allah?

Pelbagai kisah sudah pernah kita dengar. Kehidupan orang yang bertaqwa memang sangat istimewa. Mereka mendapat layanan yang luar biasa berbanding manusia biasa. Hari ini, Allah yang sama, membuka peluang kepada kita untuk terus berusaha agar turut sama mendapat nikmat itu. Iaitu dengan berusaha menjadi orang yang bertaqwa.

Takwa dalam bahasa yang mudah adalah, "Buat apa yang Allah suruh, dan tinggalkan apa yang Allah larang mengikut cara yang diajarkan oleh Nabi Mohammad S.A.W.




No comments: