Monday, 13 May 2013

AL-KISAH RM10.....

Alkisah RM10…

Melihat rakan-rakan sekolah giat mengumpul permainan dalam kotak Tora Aman, saya iri hati dan terasa ibubapa saya tidak berguna kerana tidak dapat memberikan saya duit untuk hidup seperti rakan-rakan sekolah.

Satu hari, abah pulang dari kerja. Abah terus menukar pakaian kepada bertuala untuk mandi. Dompet abah masih di dalam seluar panjangnya.

Kerana iri hati di samping marah dengan rakan-rakan yang mengejek saya tidak mempunyai permainan yang dikumpulkan daripada kotak makanan Tora Aman, saya mengambil peluang mencuri RM10 daripada dompet abah ketika abah sedang mandi.

Saya mengira duit yang ada dalam dompet abah, ada RM200, tapi semuanya RM10.

“Abah tak akan perasan kot saya mengambil sekeping,” bisik hati saya.

Tiba-tiba… mak memanggil, “Him tolong simpan baju, hari dah gelap.” Saya bergegas meletakkan dompet abah kembali ke dalam seluarnya dan keluar menyimpan baju.

Saya bimbang sepanjang malam, takut-takut abah menyemak dompetnya. Tapi abah tidak, selepas solat Isyak, abah terus tidur bersama mak.

Besok paginya, saya terus ke sekolah dengan gembira. Lepas sekolah nanti, saya akan belikan 10 kotak Tora Aman dan dapatkan permainan dalam kotak dan saya boleh bermegah semula di depan rakan-rakan bahawa ibubapa saya pun mampu memberikan saya duit untuk membeli permainan tersebut.

Rakan-rakanku menyambut penyertaan saya ke dalam group mereka yang mempunyai permainan Tora Aman. Saya berasa bangga dan gembira sehingga melupakan peristiwa RM10 itu.

Saya pulang ke rumah lewat kerana leka bermain dengan rakan-rakan. Abah sudah berada di rumah.

Mak pula melihat saya dengan penuh kebisuan tanpa senyuman yang biasa.

Terasa mak ingin memarahi saya. Tapi saya tak tahu mengapa.

Apabila saya memanggil mak, tangan mak hampir menampar saya. Saya ketakutan sambil menutup mata. Tamparan yang dinantikan tidak sampai.

“Ayang, biar abang yang handle. Ayang gi masak. Abang nak makan sedap dengan Him malam ini. Buat ayam goreng rempah,” kata abah yang memegang tangan mak yang ingin menampar saya.

Mak nak berkata sesuatu, tapi abah dengan tegas berkata, “Pergi masak. Abang akan selesaikan.”

Abah menyuruh saya untuk mengikutnya keluar dengan kereta untuk membeli barang.

“Hari ini macam mana Him?” tanya Abah.

“Bagus abah. Maaf lambat balik sikit. Tapi Him tak tinggal sembahyang. Takut-takut mak marah sebab rasa Him tinggal sembahyang,” jawab saya.

Abah tersenyum.

“Abah hari ini kurang baik,” kata Abon.

“Mengapa abah? Apa berlaku?” tanya saya.

“Semalam kereta abah bermasalah, air enjin mendidih. Hari ini keluar awal bawa kereta ke mekanik untuk diperbaiki. Cadangnya abah naik bas pergi kerja dari tempat mekanik.

"Lepas itu waktu balik kerja, ambil bas ke tempat mekanik untuk ambil kereta.

"Mekanik itu minta bayaran dulu sebelum kereta direpair kerana perlu duit beli spare parts. Abah dah janji semalam untuk bayar habis RM190. Abon beri RM190 pada mekanik, sepatutnya abah ada RM10 baki untuk naik bas dan makan tengahari, tapi tak tahu mengapa duit RM10 itu hilang,” kata abah.

“Hilang? Bagaimana hilang? Ada terjatuh mana-mana,” saya tanya berpura-pura.

“Abah terpaksa meminjam duit RM10 daripada mekanik untuk ulang-alik kerja dan makan tengahari tadi. Akaun bank abah dah kosong untuk bulan ini, hanya tinggal akaun mak ada duit. Jadi abah terpaksa pinjam RM10 lagi daripada rakan sekerja untuk bayar mekanik,” kata abon.

Saya simpati pada abah tapi saya diam takut peristiwa mencuri terbongkar.

“RM10 itu bukan banyak. Tapi itu hasil titik peluh abah setiap hari. Keluarga bukannya berduit, setiap ringgit mak dan abah perlu fikir sebelum belanja. Jika bukan kerana
kereta rosak terpaksa repair supaya abah dapat ke kerja dengan mudah, abah takkan guna RM190 itu. Jika RM10 itu pengemis kelaparan ambil, abah tak kisah. Kalau RM10
itu ada yang ambil untuk bermegah-megah benda tak tentu pasal, abah akan rasa sakit hati,” kata abah.

“Abah dah cari baik-baik RM10 itu?” tanya saya yang masih berpura-pura dan abah terus memandu kereta tanpa destinasi.

“Him. Abah sangat sakit hati. Abah gagal sebagai seorang ayah,” kata abah.

“Mengapa pula?” tanya saya.

“Abah gagal didik Him bahawa berbohong itu silap. Abah gagal buat Him takut berbohong. Sebaliknya Him takut kesalahan dan kebenaran dibongkarkan. Abah gagal buat Him faham mencuri itu satu kesalahan besar. Abah gagal mencari duit yang cukup
untuk duit poket Him sehingga Him terpaksa mencuri. Abah sedih kerana Him buktikan abah ini memang gagal sebagai sebagai seorang ayah,” kata abah yang teresak-esak
dengan air mata kemerahan.

“Bila Him balik lewat, Abah keluar ke sekolah mencari Him. Nampak Him bangga dengan permainan baru di depan rakan-rakan. Abah terus balik."

Abah renung dan bertanya, "Him perlukan duit."

Tapi Him tak berani minta terus-terang daripada abahnya.

"Silap Abah dan mak di mana? Silap abah dan mak mengajar di mana? Abah berbincang dengan mak, kata bukan silap Him, tapi silap abah dan mak sebagai ibubapa,” kata abah lagi yang sudah menghentikan keretanya di tepi sebuah padang.

“Abah. Maafkan saya abah. Him yang mencuri. Him yang silap. Him mohon maaf sakitkan hati abah. Abah tak salah. Bukan abah yang tak pandai mengajar. Silap Him tak pandai jadi anak yang soleh. Him janji pada Allah tak akan buat lagi,” kata saya sambil berpelukan menangis bersama abah.

Sejak itu saya berubah menjadi seorang yang bertanggungjawab pada abah dan mak.

Saya menjadi kebanggaan abah dan mak di sekolah, di universiti dan di mana-mana.

Wahai anakku,

Diharap cerita ini dapat engkau merasai air mataku yang mengalir ke dalam badan tatkala aku sedar kamu berbohong pada aku dan bondamu. Bercakap benarlah walaupun pahit pada aku dan bondamu, mungkin aku dan bondamu akan marah,
tapi lihatlah dalam marah itu sebenarnya terpendam harapan yang sangat tinggi dan kesayangan yang amat mendalam padamu.

Jika engkau tidak dapat menjadi penulis yang memberikan manfaat, jadilah pembaca yang memberikan manfaat kepada orang lain.

Senyum...

No comments: